Senin, 10 Februari 2014

Anggota Polis Terlepas Tembakan Ditahan Kerja


IPOH – Polis Bukit Aman mengeluarkan arahan menahan kerja anggota polis yang terlepas tembakan dan mengenai kanak-kanak berumur 10 tahun ketika mengosongkan pistolnya dalam kejadian di Kampung Belanja Kiri, Parit pada 14 Oktober lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata perkara itu telah dimaklumkan pada Jumaat lepas dan surat tersebut dijangka akan diterima minggu depan.

“Surat itu akan diserahkan kepada anggota tersebut. Berapa lama dia (anggota) ditahan kerja bergantung kepada keadaan tetapi kebiasaannya ia bergantung kepada tempoh perbicaraan, namun saya percaya kes ini tentu sekali diberi keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan Golf Piala Ketua Polis Negara di sini hari ini.

Seramai 258 anggota dari seluruh negara menyertai kejohanan itu antaranya melibatkan polis dari kontinjen Kuala Lumpur, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

Dalam perkembangan lain beliau berkata kertas siasatan berhubung kes itu telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya minggu lepas untuk tindakan lanjut.

Kanak-kanak itu selamat menjalani pembedahan mengeluarkan peluru itu pada 20 Oktober lepas. – BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar