Minggu, 02 Maret 2014

PRU13 SPR sudah sedia 85 Maksudnya belum bersedia penuh

Wartawan Sinar Harian
12 Oktober 2012
Abdul Aziz Mohd Yusof
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof - Foto Sinar Harian Rosli Talib
PUTRAJAYA –  Persiapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang dijangka diadakan bila-bila masa, sudah mencapai 85 peratus, demikian menurut Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Bercakap dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian Online di pejabatnya di sini hari ini, Abdul Aziz berkata, hanya tinggal beberapa perkara yang perlu diuruskan kerana ia melibatkan kos yang tinggi jika dibuat terlalu awal.

“Saya difahamkan kalau dakwat, kita tidak boleh beli sekarang. Dakwat tidak boleh disimpan lebih tiga bulan.

“Nak tempah kapal terbang, nak tempah helikopter, sewa pun mahal... beratus-ratus ribu, kemudian bolehlah ambil dakwat kita dan sebagainya,” katanya merujuk kepada kos pengangkutan dan tempoh sah laku dakwat kekal, yang pertama kali akan digunakan.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, pilihan raya kali ini perlu dilakukan dengan teliti memandangkan beberapa perubahan besar telah dilakukan seperti penggunaan dakwat kekal dan undi awal bagi menggantikan undi pos di kalangan anggota tentera, polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan isteri masing-masing kerana bertugas pada hari pengundian.

“Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 ini terlalu banyak perkara baru. Jadi kita perlu berhati-hati.

“Sebagai contoh penggunaan dakwat  kekal dan pengundian awal akan dilaksanakan dalam PRU yang akan datang. Ini kali pertama akan digunakan. Bunyinya memang mudah tetapi melaksanakannya, ia adalah perkara yang perlu berhati-hati. Takut tersilap dan sebagainya," ulasnya.

“Jadi maknanya kalau dari segi persediaan itu, saya boleh katakan 85 peratus. Cuma ada beberapa perkara (sahaja lagi perlu disiapkan)… tapi kalau kata pilihan raya esok, tak bolehlah," kata beliau dengan berseloroh.

Sekiranya Dewan Rakyat terbubar dengan sendirinya pada 28 April 2013, pilihan raya selewat-lewatnya akan diadakan pada penghujung Jun atau awal Julai 2013.

Angin bertiup kencang, PRU13 tidak akan diadakan tahun ini bagi memberi laluan kepada beberapa insentif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Bajet 2013 sampai kepada rakyat.

Namun ada juga desas-desus yang mengatakan Najib akan membubarkan Parlimen bulan depan.

Mandat semasa Kerajaan Pusat akan berakhir 28 April 2013 manakala Dewan Undangan Negeri (Dun) secara berperingkat di akhir Mei depan, bergantung pada tarikh sidang penggal pertama masing-masing.

Mengulas negeri-negeri pembangkang seperti Selangor yang mahu mengadakan pilihan raya secara berasingan jika Parlimen dibubar awal, Abdul Aziz berkata, “kalau undi tidak dibuat terlalu awal, semua akan ikut... kalau buat November, saya rasa semua ikut.”

Tidak ada komentar:

Posting Komentar